Wednesday, April 22, 2009

Bernyanyilah Lagi...

"Bernyanyilah lagi, dengan suaramu yang meluahkan nada dari alam yang jauh dari kami, dimana muzik dan cahaya rembulan adalah satu." (Penyair Romantis Percy Bysshe Shelley)

Bukan mudah bernyanyi dari kalbu. Suara anugerahNya itu adalah bakat yang perlu dijaga dengan rapi. Setiap luahan menerusi dendangan dari kalbu itu perlu dihargai nilainya oleh sang penyanyi itu sendiri sebelum ia dinilai oleh mereka yang mendengarnya. Nyanyian adalah wahana bagi luahan seni yang bisa memberi gambaran keindahan.

"Nyanyian pada saya adalah suatu luahan yang paling sempurna. Ia sungguh spontan. Dan selepas nyanyian, saya rasa biolalah. Oleh kerana saya tidak boleh menyanyi, saya melukis." Pelukis Georgia O Keefe.

Setiap penyanyi mempunyai keistimewaan masing-masing dan mempengaruhi antara satu dengan lain. Aku mengambil inspirasi nyanyianku dari gaya penyanyi jazz dan balada. Jiwaku terlekat dengan gaya muzik sedemikian. Aku tidak suka terpekik-pekik kerana ingin mencapai nota vokal tinggi. Aku lebih suka santai bila menyanyi agar aku dapat menghayati lagu tersebut. Padaku, tidak semestinya seorang penyanyi harus boleh mencapai nota tinggi untuk dianggap bagus. Ia tergantung pada gaya dan mood sesebuah lagu dan kecenderungan pada gaya penyanyi tersebut. Ella Fitzgerald dan Dionne Warwick, contohnya, cukup santai pabila menyanyi tapi mampu memukau para penonton.

Aku lebih gemar bernyanyi secara langsung, kerana aku anggap ianya peluang yang datang sekali. Lebih-lebih dengan iringan alat muzik yang dimainkan secara langsung. Sama ada nyanyian itu bagus atau tidak, nyanyian secara langsung atau 'live' tidak boleh diulang untuk diperbetulkan apa jua kesilapan. Itulah tantangannya. Berbeza dari rakaman yang boleh diulang rakam. Seorang penyanyi yang baik itu dinilai dengan kebolehannya menyanyi secara langsung.

Melodi yang keluar dari mulut seorang penyanyi harus diiring dan sejiwa dengan senikata dan melodi dari alat muzik. Senikata haruslah dinyanyikan dengan jelas agar pendengar boleh menghayati apa jua kisah dalam lagu yang diluahkan sang penyanyi. Sang penyanyi harus mendalami sesebuah lagu itu dengan menghayati senikata dan senilagunya terlebih dahulu. Harus bikin 'homework' sebelum membuat persembahan. Aku tidak menghargai seorang penyanyi yang sering lupa senikata dengan alasan lelah atau kesempitan waktu. Dimanakah profesionalisma itu? Maaf, Aku hanya menegur mereka yang bernyanyi dan juga diriku sendiri, kerana aku tidak dapat lari dari kesilapan.

Aku adalah penyanyi yang masih belajar. Begitulah hidup di dunia ini. Kita akan terus menjadi pelajar kehidupan. Tidak kira apa jua bidang yang kau ceburi, kau akan terus menjadi pelajar. Apa jua yang aku dendangkan, aku ingin buat yang terbaik. Walaupun ia tidak mendapat tepukan gemuruh, aku pasti ada diantara mereka yang menghargainya.

Walaupun kau dianggap penyanyi jalanan sekalipun, buatlah yang terbaik. Tak mengapa. Pasti ada yang menghargai.

Pasti ada diantara mereka yang akan berkata, "Nyanyilah lagi..."

(ini hanya pandangan. terpulang pada yang membacanya)

Yang Bernyanyi,

Rudy Djoharnaen

2 comments:

Anak Juara Bintang Radio Bahagian Asli said...

Ibu pernah berkata..."semua bakat yang kita ada adalah anugerah Allah...jagalah semua anugerah itu dengan baik supaya ia tak mensia-siakan kau dibelakang hari..."

Rudy Djoharnaen said...

Salam kepada Anak Juara Bintang Radio bahagian Asli,

Betul kata ibumu, Alhamdulillah.

Kalau boleh, siapa Ibumu yang juara bintang radio tu?

harap dapat perkenalkan diri.

Makasih