
Sarena pernah menghiasi kaca TV Malaysia dengan rancangan hiburan malam minggunya sendiri, iaitu 'SARENA'. Rancangan itu diterbitkan oleh Helen Abu untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada era 70an. Dalam rancangan tersebut beliau berduet dengan penyanyi-penyanyi undangannya seperti Saloma, Salamiah Hassan, Helen Velu dan lain-lain.
Sarena mungkin satu-satunya penyanyi di zaman itu yang tidak menggunakan teknik vibrato dalam vokalnya. Gaya nyanyiannya simple dan manja. Namun begitu, gaya tersebut membuat Sarena tersendiri dan istimewa, sesuai dengan lagu-lagu rakamannya. Sarena juga mempunyai bakat menulis senikata lagu dan banyak menyumbang senikata-senikata untuk rakamannya sendiri mahupun penyanyi lain. Diantara lagu-lagu yang popular pada zaman kegemilangannya adalah 'Bersama' (saduran dari lagu hindi (1965) Ye Sama Sama Hai Ye Pyaar Ka), 'Dua Kali Dua', 'Malam Ini', 'Kenangan Manis' dan 'Bayangan Menjelma'.