Sunday, June 01, 2008

Biduan Ahmad Daud

Biduan ini pernah ditertawakan rakan-rakannya pada peringkat awal beliau memulakan kerjaya dalam bidang seni. Pada waktu itu, beliau menyanyikan lagu Blue Sky yang dipopularkan Bing Crosby. Itulah lagu pertama yang dinyanyikan di hadapan umum ketika mengambil bahagian dalam konsert tahunan di sekolahnya, Francis Light School, Pulau Pinang pada 1948.

Beliau tidak sedikit pun berasa kecil hati, sebaliknya bangga kerana sekurang-kurangnya persembahan nyanyiannya tanpa iringan muzik mendapat perhatian.

Tidak setakat itu saja, minat terhadap seni terus membara, mendorongnya mengambil bahagian dalam pertandingan boria dengan mewakili Kampung Rauna, Pulau Pinang. Penyertaannya, tidak sia-sia apabila beliau diumumkan sebagai tukang karut dan pelawak terbaik.

Pertemuannya dengan pemuzik Ahmad Merican banyak membantunya membina kerjaya seni kerana sebagai rakan karib, Ahmad Merican sering memberinya peluang menyanyi di majlis rasmi termasuk kenduri bersama Pancaragam Perindu Malam.

Bersama Pancaragam Perindu Malam, beliau menyanyi secara profesional di Hotel E & O, Pulau Pinang pada 1953. Ia satu pencapaian yang membanggakan kerana buka
n mudah untuk kumpulan tempatan beraksi di hotel.

Pada tahun sama, beliau menyertai pertandingan Bintang Radio yang buat kali pertama dianjurkan tetapi tewas di tangan Biduan P Ramlee yang waktu itu sudah merakamkan lagu Azizah. Turut menjadi saingan di pertandingan itu ialah Tan Sri SM Salim, Jasni, R Azmi, Kasmani dan Ismail Kassim.

Dalam keadaan hatinya yang berbelah bagi kerana masih di bangku sekolah, Ahmad Daud nekad melangkah ke Singapura pada tahun 1955 untuk mengembangkan bakat seninya. Percaturan yang dibuatnya tidak sia-sia apabila beliau peluang merakamkan lagu pertama, Lagak Penari disusuli Tiada Berita dan Pengantin Bersanding.

Pada 196
0, Ahmad Daud menyertai Panca Sitara yang turut dianggotai P Ramlee, Ahmad C dan Kassim Masdor, seterusnya menjayakan rancangan di Radio Malaya, Singapura terbitan Datuk Zain Hamzah selama setengah jam, hampir dua tahun.

Antara lagu
popular nyanyian Ahmad Daud sehingga kini ialah Pontianak dan Si Manis 17. Pada 1962, Ahmad Daud menceburi lakonan apabila membintangi filem Siapa Besar arahan Omar Rojik. Filem itu turut dibintangi Normadiah, Habsah, Zaiton dan Aziz Sattar.

Filem lain yang pernah dibintanginya adalah Pusaka Pontianak, Kaca Permata dan Aksi Kuching. Menerusi Kaca Permata, Ahmad Daud menerima pencalonan pelakon terbaik di Pesta Filem Asia-Pasifik 1965.

Pada 1968, Ahmad Daud diberi peluang berlakon dalam filem Jungle Boys terbitan syarikat penerbitan dari Amerika Syarikat. Beliau memegang watak wartawan jenayah. Selepas Jungle Boys, Ahmad Daud turut menerima satu lagi tawaran tetapi ditolak kerana tidak tahan watak lasak.

Selain menyanyi dan berlakon, Ahmad Daud menjadi juruhebah sambilan di Radio Pulau Pinang. Kebolehannya itu membuka peluang kepada beliau menjayakan program televisyen sendiri, iaitu The Ahmad Daud Show pada 1975. Menerusi rancangan itu, beliau terkenal dengan ungkapan, “Steadylah!”

Ahmad Daud, penyanyi dan anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyanyi di Popular Song Music Festival di Jepun pada 1970.

Penyanyi, pelakon dan penghibur yang terkenal dengan keramahannya itu meninggal dunia pada Jun 2002 kerana masalah paru-paru dan sakit buah pinggang.

Dek Jangan Bimbang - Ahmad Daud and The Romans

Dek Jangan Bimbang
1967 EMI Parlophone DPE.8205
Ahmad Daud and The Romans

No comments: