Aku Paduka Seri Maharaja
Raja besar kota Singapura
kerana hasutan pembesar istana
negeri ditimpa malapetaka
Murkaku pada seorang mulia
Seorang Pasai tinggi ilmunya
kerana pohon pinang terbelah dua
dia ku hukum tanpa bicara
Keris dihunus ke dalam dada
Di Hujung Pasar ku menghukumnya
sebelum maut menjelang tiba
Dia melafaz sumpah bencana
Mayatnya ghaib serta-merta
Setelah mati dihukum beta
Darahnya menitik di Singapura
Di pantai Langkawi terlantar jasadnya
Kemudian bencana datang menimpa
Huru hara seluruh Singapura
Ramai yang maut di pantai sana
Diserang todak beribu banyaknya
Buntulah segala isi Istana
Tidakku tahu nak buat apa
Lalu ku beri perintah yang gila
Pantai dipagar rakyat jelata
Perintah yang bodoh dititah beta
Rakyat jelata menjadi mangsa
Menghadaplah seorang yang bijaksana
"Batang pisang!" itulah cadangannya
Berkat akal yang bijaksana
terselamat negeri dari bencana
Tiada ku duga tiada ku sangka
Budak itu Rahmat yang Esa
Seluruh negeri kembali sejahtera
rakyat jelata riang gembira
Namun diriku tak kenang jasa
Termakan lagi hasutan hina
Kerana dia bijaklaksana
Segera ditamatkan riwayatnya
Kalau dia tumbuh dewasa
Dia tentu merampas kuasa
Termakan lagi hasutan durjana
"Bunuh budak itu!" begitulah titah Beta
Tanpa belas kasihan dirantainya
Tenggelamlah ia di laut gelora
Begitu bodohnya diri yang hina
Daulat kemana aku kemana
Akulah durjana hati ternoda
Sesal ku tidak ada gunanya
Walaupun daulatku terasa mulia
sebagai Raja yang berkuasa
Akalku cetek dungu belaka
lebih rendah dari hamba....
Rudy Djoharnaen
Note: Sekadar imaginasi saja. Ilham dari Singapura Dilanggar Todak.
"Carik baju raja
Dilompati todak
Bukan disahaja
Sebab akal budak."
Bukan Todak Punya Angkara...
Colour Pencils & Oil pastels on paper
Day-to-Day Collection
by Rudy Djoharnaen
2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment