Tuesday, September 30, 2008

Terawih Terakhir di Masjid Almukminin


"Akhiru tarawih rahimatumullah!"

Laungan pak Bilal di malam terakhir

aku tersentak sebentar

kerana malam nan indah ini telah sampai ke penghujungnya

semakin sebak hati aku akan pemergian ini

nikmat Ramadhan tidak mungkin datang lagi

hidup mati di tangan Illahi

Airmata menitis membasahi pipi

Rugi.

rugi kerana banyak malam-malam Ramadhan tidak aku isi dengan amalan.

Namun aku bersyukur padamu Ya Allah,

kerana rahmatMu dan IzinMu,

aku bisa menghafal Surah At-Tin dengan lancar

dan aku dapat menyaksikan majlis khatam para qari

memberi inspirasi untuk membaca Al Qur'an

selama ini aku melupakan Al Qur'an

selama ini aku melupakan Masjid

selama ini aku melupakan Sedekah

selama ini aku melupakan RasulMu

selama ini aku melupakanMu



aku tidak mahu lupa lagi

kerana ini akan membinasakan hati dan diri

dan aku dikalangan orang-orang yang merugi

Ya Allah Ya Rahman,

Pandangilah aku dengan Pandangan Kasihmu

dengan Pandangan Rahmatmu

dengan Pandangan Keampunanmu

semoga aku sentiasa beristiqomah

semoga aku sentiasa mengasihi dan dikasihi

Ampunilah kedua orang tuaku

Adik-Beradikku, Saudara-maraku, Guru-guruku

dan sahabat handaiku...

Terimalah Ya Tuhanku

segala amalanku walau sekecil mana pun sepanjang Ramadhan yang mulia ini.

Semoga ianya bisa menghindariku dari siksa Api Neraka Jahannam

Semoga ianya bisa menguatkan imanku dan kasihku padaMu dan RasulMu

Aku ingin terus berjalan kepadaMu

dan semoga Kau akan datang berlari padaku


Selamat Tinggal Ramadhan yang aku Kasihi

Selamat datang Syawal

Maafkan aku wahai teman-temanku

khilafku mungkin terlalu banyak

sehingga tercatit di buku hitam kalian

Terima kasih di atas persahabatan ini...

Salam Aidilfitri.



Rudy Djoharnaen
1429







Saturday, September 27, 2008

Iman

"Firaun, kau boleh siksa tubuhku, tapi tidak Imanku." (Siti Asiah)
Subhanallah. Cinta kasih wanita ini sangat mendalam kepada Penciptanya sehingga dia sanggup menempuh apa saja. Aku jadi sangat malu. Ampunilah aku ya Allah.

Friday, September 26, 2008

Lambaian Aidilfitri

Aku terserempak dengan video ini. Siapa jua yang meguploadnya, terima kasih ya. Zaman gemilang yang sudah tak gemilang lagi. Duet bersama Aqmal N dalam Salam Aidilfitri 2004.



(tapi si linda onn tu memang chantek. Feewit!)

Thursday, September 25, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 10)

Kumpulan Nasyid doelu-doelu juga tidak lepas peluang merakam melodi lebaran. Al-Maklumlah, Eid Mubarak, Ramadhan adalah salah satu bahan dakwah melalui muzik. Disini aku muatkan lagu-lagu lebaran yang sedap oleh Kumpulan Al Mizan, Al Jawaher dan O.G La Barkah & Al Fata.

O.G La Barkah & Al Fata lebih tradisional berbanding Al Mizan dan Al Jawaher. Susunan Muzik Selamat Hari Raya oleh Al Jawaher boleh dikatakan kontemporari. Ianya disusun oleh Eddie Marzuki (kalau tak silap). Manakala lagu Al Mizan disusun oleh S.Atan. Aku tak tahu penyusun muzik bagi O.G La Barkah & Al Fata. Tapi yang aku tahu, kumpulan inilah yang pertama merakam lagu ini sebelum pelbagai versi dari artis-artis era selepas mereka. Respek pada kumpulan-kumplan ini.

Selamat Hari Raya - O.G La Barkah & Al Fata

Selamat hari raya - Al Jawaher

Selamat Berhari Raya - Al-Mizan

Wednesday, September 24, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 9)

Muzik Indonesia Doelu-Doelu juga mempunyai koleksi lagu-lagu Lebaran yang malar segar. Al-Maklumlah, doelu-doelu para artis rakaman dari tiga negara share satu platform. Kebanyakkan artis Indonesia akan turun ke Singapura untuk menghasilkan rakaman piring hitam. Singapura merupakan 'entertainment hub' pada zaman gemilang tersebut.

Mummy memang minat pada Biduanita Vivi Sumanti. 'Lebaran' adalah lagu lebaran duet antara Vivi dan Frans Daromes pada 1973. Vivi atau nama manja 'Fifi' adalah penyanyi dan pelakon jelita bersuara merdu dan manja yang popular pada era 70an.

This song is for you, Mummy! Hehe.

Lebaran - Vivi Sumanthi & Frans Daromes

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 8)

1978. 4 BIOL berhari-raya! Terdiri dari 4 pelawak lagenda; Wahid Satay, Hamid Bond, Mahmud Al-Kicap dan S.Shamsuddin. Diterbitkan oleh Hamid Bond, 4 Biol merakam LP berkonsepkan komedi dan juga merakam lagu Selamat Hari Raya.

Lagu ini sudah tidak lagi kedengaran di radio. Boleh 'lepak' bila dengar 4 Biol ni. Selamat Hari Raya dinyanyikan oleh Wahid Satay diiringi The Addend Boys.

Selamat Hari Raya - 4 Biol

Tuesday, September 23, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 7)

Dari LP EMI Parlophone 1971, versi 'Manusia Miskin Kaya' oleh Eddy Nor Ali sangat melekat di hati para penggemar melodi lebaran. Mak Nona, atau Nona Asiah adalah Biduanita yang pertama merakamkan lagu ini di tahun 50an untuk sebuah filem. Aku lupa filem apa. 'Manusia Miskin Kaya' digubah dan ditulis senikatanya oleh P.Ramlee. Silalah mendengar kedua versi yang indah ini.

manusia miskin kaya - Eddy Nor Ali

Manusia Miskin kaya - Nona Asiah

(Encik Hamed, terima kasih di atas kiriman emel itu. Tak usahlah kaget kerana maklumat sejarah melodi doelu-doelu dan usia saya. Apa yang saya tahu hanya sekerat saja dan passion saya pada tempo doelu-doelu. Anyway, Selamat Hari Raya.)

Monday, September 22, 2008

Melodi Lebaran Doelu Doelu (Bahagian 6)

Semalam abang aku berbual pasal zaman Rocknya bila berhari raya. Kenangan di Holland Avenue dan Queensway Shopping Centre memang tak dapat dilupakan. Sekarang sudah 'tone down' dengan anak isteri tapi jiwa tetap Rock.

Bila mendengar cerita silamnya, aku teringat pada lagu 'Seri Hari Raya' oleh Sweet Charity. Lagu saduran dari sebuah kumpulan dari Barat (aku lupa nama band asalnya tapi aku tahu vokalisnya wanita) ini diubahsuai senikatanya menjadi lagu raya. Memang happening lagu ini.


'Seri Hari Raya' dimuatkan dalam album kompilasi LP Lebaran 1980 'Aidilfitri, Bermaaf-Maafan' menampilkan artis-artis popular WEA Singapura dan Malaysia seperti Noraziah Ali, Othman Hamzah, Sweet Charity, Azean Irdawaty, Uji Rashid, Ahmad Nawab, Khaty Ibrahim, Jamal Abdillah dan Hail Amir. Bagi anda yang suka sama Rock, ini lagu ditujukan untuk anda.

Tabik Papa Rock and Sweet Charity!

(Dulu para artis Singapura dan Malaysia share the same platform, the same stage tanpa mengira identiti 'passportnya', sekarang ada garisan yang agak tebal dan masih juga tebal. Bila kita nak kembali ke zaman gemilang macam doelu-doelu? Hmm...entahlah)

Sunday, September 21, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 5)

Sharifah Aini di zaman kegemilangannya memang sangat terkenal kerana kemantapan vokalnya, lebih-lebih lagi pada lagu-lagu tradisional. Biduanita ini telah merakam beberapa lagu hari raya. 'Suasana Hari Raya' adalah diantara lagu popular yang tetap segar dalam ingatan.

Namun rakaman 'Hari Yang Mulia' (1973 LP 'Selamat Hari Raya Aidilfitri', EMI Parlophone Singapore), gubahan S.Omar Osman, lebih memberi kesan padaku dari 'Suasana Hari Raya'. Dengan iringan muzik orkestra yang disusun oleh Kassim Masdor (kalau tak silaplah), lagu ini menjadi lebih 'grandeur'.

Hari Yang Mulia - Sharifah Aini

Satu lagi lagu yang juga baik adalah duetnya dengan Hail Amir. 'Bisikan Hati Di Pagi Raya', gubahan Ahmad Nawab dan senikata oleh Sharifah Aini sendiri. Lagu ini dimuatkan dalam LP 'Bergembira Di Hari Raya' menampilkan artis-artis rakaman EMI pada 1977.

Bisikan Di Pagi Raya - Kak Pah & Hail

Saturday, September 20, 2008

Salam Dunia

Salam Dunia - Rudy Djoharnaen

Tidak lain tidak bukan...(ehem...ehem).

Versi ini tidak akan pernah bisa menandingi versi asal oleh Maestro M.Nasir. Salute to Nasir.

Versi Asal-M.Nasir
Salam Dunia - M Nasir

Friday, September 19, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 4)

Biduanita unggul ini merakam lagu ala cha cha, 'Selamat Hari Raya' pada 1955, di awal penglibatannya dalam dunia seni dan mulanya era kegemilangannya. Versi asal ini diiringi oleh Orkestra Ahmad Jaafar pimpinan pemuzik lagenda Ahmad Jaafar, yang juga penggubah lagu ini. Ahmad Jaafar juga terkenal dengan lagu gubahannya, iaitu 'Ibu'. Lagu hari raya ini juga dijadikan soundtrack filem 'Selamat Hari Raya' arahan L.Krishnan pada tahun yang sama. Filem tersebut dibintangi oleh Seniwati Maria Menado dan Seniman Almarhum S.Roomai Noor (bapa Anita Sarawak)

“Memang pada mulanya, saya tidak menyangka lagu itu akan menjadi popular dan evergreen sehingga ke hari ini. Saya menghayati lagu Selamat Hari Raya itu sama seperti lagu Saloma lain yang pernah saya miming dalam filem.

“Selain di panggung wayang, lagu itu juga ke udara di Radio Malaya dan Singapura. Mungkin disebabkan dulu tidak ada banyak lagu raya, jadi lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma mudah diterima dan diingat, apatah lagi ia sendiri berkonsepkan ceria dan menggambarkan kemeriahan di hari lebaran,” (Maria Menado, dalam termuramah oleh Harian Metro)


Pada 1973, lagu ini diberi nafas baru oleh Saloma sendiri dengan senikata dan susunan muzik yang berbeza, sesuai dengan gaya muzik waktu itu. Versi ini menjadi terkenal dan malar segar sehingga kini dan juga sebagai salah satu lagu 'wajib' musim raya Aidilfitri. Almarhum bapaku sangat meminati lagu ini dan arwahlah yang memberitahu akan versi 50annya.

Al Fatihah untuk Almarhumah Salmah Bte Ismail (Saloma, 1935-1983)




Versi awal 70an
Selamat Hari Raya - Saloma

Versi Asal
Selamat Hari Raya - Saloma

Thursday, September 18, 2008

Tuhan



Tuhan
Tempat aku berteduh
Dimana aku mengeluh
dengan segala peluh

Tuhan
Tuhan yang Maha Esa
Dimana aku memuja
dengan segala doa

Aku jauh Engkau Jauh
Aku dekat Engkau dekat
Hati adalah cermin
tempat dosa dan pahala bertaruh

(1970s, Trio Bimbo)

Wednesday, September 17, 2008

Segelas Air Putih


Segelas air putih yang penuh
Kini tinggal separuh
Dibuang atau diminum?

Kalau diminum, teruslah diminum bakinya
Kalau dibuang, masih ada lagi separuh
jangan dibuang lagi, minumlah

Rahmat
Kasih
Pengharapan
Pengampunan
Penyucian
Perjuangan

Selamat Berjuang.



Tuesday, September 16, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 3)


Rentak popular 'Lebaran' yang dirakam oleh M.Ramlee ini memang groovy. M.Ramlee adalah pengacara TV terkenal yang merakam album pada pertengahan 70an dibawah label Senada milik Kassim Masdor. Beliau juga pelakon handalan bagi drama radio dan TV Singapura.

Aku suka dengan petikan gitar bass pada muzik ini. Muzik disusun oleh Kassim Masdor. Versi asal adalah dari Biduan Didi dari Indonesia era 50an. Senikatanya diubahsuai mungkin kerana senikata asalnya menggambarkan kehidupan sosial masyarakat Indonesia dan kurang sesuai bagi Singapura dan Malaysia.

Bila part "Kuih Koci kuih yang sangat aku gemari, diluarnya pulut didalam berisi inti." M.Ramlee menambah baris tersebut dengan spontan sewaktu di studio rakaman. (ada ke orang buat kuih koci sebagai kuih hari raya..hehe) "Ada...nenek aku dah." katanya selamba sewaktu ditemuramah di radio.



Lebaran - M.Ramlee

Lagu Asal- Didi

LEBARAN - Didi

Melodi Lebaran Doelu-Doelu (Bahagian 2)


1973. Pemuzik Lagenda Reggie Verghese (paling kiri) telah merakamkan instrumental 'Selamat Hari Raya' dengan stailnya tersendiri dibawah label EMI Singapore berjudul 'REG GUITAR'. Beliau adalah diantara nama-nama besar (selain Kassim Masdor, Ahmad Nawab, Ahmad Jaafar, S.Atan) dalam Industri Muzik ketika itu. Beliau juga seorang gitaris kugiran 'The Quests' yang sangat terkenal pada era 60an. Sepanjang pembabitannya dalam industri muzik ketika itu, beliau telah berkerjasama dengan pelbagai artis rakaman EMI seperti Ismail Haron, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Sarena Hashim, Sanisah Huri, Saloma dan Franky Cheah.

SELAMAT HARI RAYA - REGGIE VERGHESE INSTRUMENTAL

Instrumental ini sering diputarkan di radio sebagai muzik latar bagi para juruhebah setiap kali musim raya. Instrumental ini telah manjadi salah satu muzik 'wajib' untuk hari raya. Bila aku dapat full verson, aku excited sebab aku memang salute beliau. 'Reg Guitar' memang legend. Kini aku kongsi bersama 'Selamat Hari Raya' oleh Reg Guitar untuk anda semua.

Salute to Reg!

Monday, September 15, 2008

Melodi Lebaran Doelu-Doelu

Aku ingin memulakan sambutan bagi menjelangnya Syawal dengan lagu 'rare' ini. Inilah rakaman asal bagi versi 'Aidilfitri'. Biduanita Asiah Aman atau Nona Asiah dan Biduan Kamsani mula-mula menyanyikan lagu ini.

Menurut Cikgu Yusnor Ef, beliau telah berjumpa dengan penggubah asalnya iaituAlmarhum Pak Zubir Said untuk mendapat kebenaran menghasilkan lagu ini dengan senikata yang berbeza. Dengan restu Almarhum, maka lahirlah versi 'Aidilfitri' oleh Biduanita Sanisah Huri pada 1972. Sususan muzik oleh Kassim Masdor. Tabik pada Zubir Said.

Versi Sanisah Huri menjadi sangat popular bagi lagu hari raya pada era 70an dan malar segar hingga kini. Setelah versi Sanisah, ada lagi satu versi berjudul 'Selamat Hari Raya' gabungan Sharifah Aini, Uji Rashid dan Hail Amir pada era sama cuba tidak begitu popular.

Kedua versi ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Nona Asiah & Kamsani


Sanisah Huri

Sunday, September 14, 2008

Antara Prani dan Maknya

"Sudahlah Prani, kau janganlah menipu lagi."

"Mak, dalam dunia ini, kalau kita baik hati, jujur...tak mau cakap banyak, kita akan dipijak, Mak. Tetapi, kalau kita bohong, menipu, meninggikan diri, orang pandang mulia pada kita, Mak. Sekarang Mak pilih, satu antara dua. Mak suka Prani beginikah? Atau Mak suka Prani menjualkan kehormatan Pranikah?"

"Dua dua Mak tak suka..."


1958, Filem Bujang Lapok

Friday, September 12, 2008

Cacat Di Hati

Ini untuk renungan diri sendiri,
kerana apa dalam hati diri sendiri ketahui
Titik noda itu harus sirna dari hati





Tuesday, September 09, 2008

Berhenti Berlagu

Aku ingin berhenti berlagu,
kerana selama ini senandungku hanya sia-sia
pada telinga-telinga yang tuli.

Aku ingin berhenti berlagu,
kerana dendanganku seolah seolah
tidak berharga pada telinga-telinga itu.

Aku ingin berhenti berlagu, sudah beberapa ketika aku memikirkan hal itu.

Namun keinginanku kini dihalang oleh kata-kata hikmah seorang Seniwati,

"Jangan takut, jika kita tidak dihargai, tetapi takutlah, jika kita sudah tidak punya harga diri."

Mungkin aku harus terus berlagu, kerana cintaku pada irama dan senikata yang seni sangat mendalam dari dulu hingga kini. Entahlah.

Pijak


aku hanya berpijak di bumi nyata

sewaktu-waktu aku akan terlupa

bahawa aku berpijak di bumi nyata

dan aku akan diperingatkan olehNya

bahawa aku berpijak di bumi nyata...


Renungkanlah

Aku rasa lagu ini sudah cukup memberi renungan cinta kasih untuk kita semua di bulan mulia ini. Dari LP Kalauku Bayangkan (1974 Parlophone) oleh J.Mizan. Penyanyi asal lagu ini adalah Biduanita dari Indonesia, Tetty Kadi.


Renungkanlah - J. Mizan


Rasa cinta pasti ada

pada makhluk yang bernyawa
tidak lama sampai kini
tetap suci dan abadi
takkan hilang selamanya
sampai datang akhir masa

Renungkanlah

perasaan insan sama
ingin cinta dan dicinta
bukan ciptaan manusia
tapi Takdir Yang Kuasa
janganlah engkau mungkiri
segala yang Tuhan beri

Rasa cinta pasti ada
pada makhluk yang bernyawa
tidak lama sampai kini
tetap suci dan abadi
takkan hilang selamanya
sampai datang akhir masa

Renungkanlah...

Monday, September 08, 2008

Panduan


Apakah Panduan ini hanya barang perhiasan?

Atau ianya hanya disimpan di tempat-tempat terpojok?

Atau hanya sebagai panambah seri barang hantaran?

Apakah Panduan ini hanya dibacakan tanpa hati yang terbuka?

Atau dibacakan hanya di masa sukar?

Dan setelah senang ianya menjadi barang perhiasan

atau disimpan kembali di tempat-tempat yang terpojok?

Panduan Agung ini harus sentiasa tersemat dalam hati

Kata-kata Agung ini harus sentiasa ada pada lidah dan bibir

Zalikal kitaabu laa raiba fiihi hudallil muttaqim

Jangan sampai Panduan ini merajuk

Sesungguhnya Panduan ini sedang merajuk dengan diriku...

Astaghfirullah.

Sunday, September 07, 2008

Senandung Hidup

Semoga Ramadhan ini memberi pengharapan kepada mereka yang hampir putus asa dengan segala dugaan yang melanda diri. Setiap insan punya perjalanan hidup masing-masing. Kita semua adalah musafir yang akan tiba di akhir garisan hidup yang ditentukanNya.

Biduan J.Mizan adalah penyanyi asal lagu yang indah ini. Lagu malar segar ini aku dendangkan untuk para sahabat dan para pengunjung blog ini sebagai kata nasihat termasuk menasihati diriku sendiri. Siapalah aku.

Senandung Hidup - The Pentatonics

Asal: J.Mizan, 1980
Rakaman Semula: The Pentatonics (kumpulan muzik terdiri dari Wan Quando, Ismalia, Hayatz dan Rudy Djoharnaen)


Bila hati dalam kesedihan
bila diri rasa kesunyian

Mengapa itu harus kau kesalkan

jangan pula kau tangiskan

Tiada insan yang tetap sempurna

tiada pula yang terus derita

Hidup ibarat berputar nya roda

ambil itu untuk renungan

Hidup ini suatu perjuangan

perlu kan pengorbanan

Jangan kesal bila kau kecundang

anggap itu bukan penghalang

Bila jaya usah engkau lupa

bila gagal usah kau kecewa

Berjaya bukan tanda bahagia

gagal tidak erti derita.





Saturday, September 06, 2008

Anak rusa Nani,
Baru kembang ekor,
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Apa sey?


Thursday, September 04, 2008

seekor cengkerik


akan datang...

www.suara-seekor-cengkerik.blogspot.com

luahan bunyi seekor cengkerik yang kecil
menambah keindahan malam yang hening


aku bukan orang baik.

Wednesday, September 03, 2008

Renungan



Aku lebih kecil dari anak kecil ini.


Selamat Bersolat Tarawih.

Melodi Sebelum Azan

Melodi indah padang pasir ini akan kedengaran di sebuah stesen radio Melayu di Singapura sebagai isyarat kepada pendengar bahawa azan akan berkumandang. Sejak kecil hingga sekarang, aku sering mendengarnya. 'The Moon and I' (1959)adalah salah satu karya seniman Ron Goodwind and His Orchestra di dalam LP (piring hitam) 'Music For An Arabian Night'. (Thanks Hamlau for the song!)

Lagu ini pernah dirakam versi Melayunya (beserta senikata) oleh Sharifah Aini pada awal 70an dibawah EMI Singapore. Versi Melayu tidak kurang hebatnya hebatnya, sesuai dengan vokal Biduanita yang menguasai lenggok Ghazal ini. Semoga keindahan 'The Moon and I' dapat menenangkan jiwa pembaca sekalian. Selamat Berpuasa.

The Moon And I - Ron Goodwind and His Orchestra

Di Malam Persandingan - Sharifah Aini

Monday, September 01, 2008

Susu Mambo


Selamat menjalani Ibadah Puasa. Rasulullah menyarankan kombinasi buah Kurma dan Susu sebagai makanan untuk berbuka Puasa. Aku sudah tahu khasiat Kurma. Bagaimana pula dengan susu?

Mungkin Almarhum Biduan Zainal Alam boleh memberi jawapannya

SUSU MAMBO - BIDUAN ZAINAL ALAM

Zainal Alam (1926-1991) merakam lagu pada tahun 50an dan terkenal dengan lagu ini. Al Fatihah buat Almarhum.



Rudy Djoharnaen